Thursday, February 19, 2009

SEJARAH SEKOLAH

SMK Semerah Padi telah ditubuhkan pada 1 Januari 2000 dengan nama asalnya SMK Petra Jaya No. 2. Pengetua pertama sekolah ini, Pn Mordiah bte. Sani bersama 27 orang guru telah memulakan sesi persekolahan pada 13 Januari 2000 dengan menumpang di SK Semariang Baru bagi pelajar Tingkatan 1 dan di SMK Petra Jaya serta SMK Tunku Abdul Rahman bagi pelajar Tingkatan 2 dan 3. Bilangan kakitangan sokongan pada masa itu ialah 5 orang. Jumlah pelajar pula ialah seramai 626 orang yang ditempatkan dalam 6 buah kelas Tingkatan 1, 5 buah kelas Tingkatan 2 dan 4 buah kelas Tingkatan 3.

Pada 16 Februari 2000, En. Md. Rashid bin Ahmad telah dilantik menjadi Pengetua, menggantikan Pn. Mordiah bte. Sani. Sekolah telah menerima bangunan baru pada 29 Mac 2000 dan pelajar-pelajar telah memulakan kelas di bangunan dan tapak baru mulai 5 April 2000.

PIBG SMK Petra Jaya No. 2 telah ditubuhkan dan didaftarkan pada 31 Julai 2000. YDP PIBG yang pertama Ialah En. Wan Hashim bin Tuanku Johan. Penaung PIBG yang pertama ialah YB Hajah Dona Babel, ADUN N7 Semariang pada masa itu.

Pada tahun 2001 bilangan guru telah bertambah kepada 48 orang dan bilangan pelajar seramai 956 orang . 4 buah kelas tingkatan 4 termasuk sebuah kelas Aliran Sains telah ditubuhkan. Terdapat 6 buah kelas bagi tingkatan 2 dan 3, manakala bagi tingkatan 1, terdapat 8 buah kelas termasuk sebuah kelas Aliran Agama.

SMK Petra Jaya No. 2, telah dirasmikan pada 12 September 2001 oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Hj. Abdul Taib Bin MAhmud. Pada masa itu juga YAB telah mengumumkan pertukaran nama sekolah kepada Sekolah Menegnah Kebangsaan Semerah Padi.

Pada tahun 2002, bilangan guru telah meningkat kepada 64 orang. Bilangan kakitangan sokongan juga bertambah kepada 10 orang dan terdapat 1289 orang pelajar. Pada tahun ini terdapat 4 buah kelas tingkatan 5, 6 buah kelas masing-masing di tingkatan 4 dan 3, 8 buah kelas tingkatan 2 dan tingkatan satu serta sebuah kelas Pendidikan Khas (Masalah Pembelajaran).

Pada tahun 2003, bilangan guru telah meningkat kepada 73 orang, manakala bilangan pelajar telah bertambah kepada 1350 orang. Terdapat 7 buah kelas tingkatan 1, 8 buah kelas tingkatan 2 dan 3, 7 buah kelas tingkatan 4 dan 6 buah kelas tingkatan 5. Pada tahun ini juga SMK Semerah Padi telah memperkenalkan Mata Pelajaran Vokasional di tingkatan 4, iaitu bagi matapelajaran Seni Reka Tanda serta Katering dan Penyajian.

Pada tahun 2004, bilangan guru ialah 75 orang, manakala pada tahun 2005 bilangan guru berkurangan kepada 73 orang dan terdapat 38 buah kelas tingkatan 1 hingga tingkatan 5 yang beroperasi dalam satu sesi.

OBJEKTIF SEKOLAH

MENYEDIAKAN PELUANG PENDIDIKAN ASAS YANG BERKUALITI BAGI

MENGHASILKAN INDIVIDU YANG BERKETERAMPILAN,

BERTANGGUNGJAWAB DAN BERHEMAH TINGGI

MELAKSANAKAN PROGRAM PENDIDIKAN YANG BERWIBAWA,

SISTEMATIK, BERKESAN DAN TERKINI BAGI MENGHASILKAN INSAN

YANG BERSIKAP PROAKTIF, KREATIF, INOVATIF DAN PRODUKTIF

MENGAMALKAN PERKHIDMATAN PENDIDIKAN YANG PROFESIONAL,

ADIL DAN SAKSAMA BAGI MELAHIRKAN INSAN YANG BERILMU,

BERIMAN, PENYAYANG DAN SETIA KEPADA NEGARA

MENYEDIAKAN SUASANA SEKOLAH YANG INDAH, BERSIH DAN

CERIA BAGI MENGHASILKAN INSAN YANG MEMPUNYAI KEYAKINAN DIRI,

DISIPLIN KENDIRI DAN BUDAYA SEDIA BERKHIDMAT.

VISI & MISI SEKOLAH

VISI

Menjadi sebuah sekolah yang berkesan dan cemerlang

bagi menepati keperluan dan aspirasi negara Malaysia.

MISI

Mewujudkan suasana dan budaya sekolah yang kondusif, strategik serta berkualiti

bagi menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

VISI STRATEGIK SEKOLAH

SMK Semerah Padi

Sekolah Cemerlang Negeri Sarawak

Menjelang Tahun 2010

SLOGAN SEKOLAH

“SMKSP Menuju Kecemerlangan”

“SMKSP Towards Excellence”

MOTTO SEKOLAH

Berwawasan dan Berkualiti




Sunday, February 8, 2009

Derita osteoartritis

BAGI kebanyakan daripada kita, penyakit osteoartritis dilihat hanya dialami oleh warga tua bersesuaian dengan umur, tahap metabolisme serta kesihatan mereka yang semakin merosot.

Namun, adalah silap bagi kita untuk membuat jangkaan sedemikian kerana penyakit ini sebenarnya tidak mengenal usia.

Penyakit osteoartritis berlaku akibat rawan (cartilage) yang terdapat di antara dua tulang penyambung sendi badan telah menipis (terhakis), seperti di bahagian lutut, siku, pinggul dam leher.

Bagi setiap manusia normal, rawan yang terdapat di antara dua tulang, contohnya seperti di bahagian lutut, membantu melancarkan pergerakan atau membantu tulang tersebut membengkok.

Dalam erti kata lain, rawan melindungi bahagian hujung tulang bagi memudahkan pergerakan seharian.

Jika rawan telah menipis, ia akan mengakibatkan kesakitan yang amat sangat setiap kali kita melakukan pergerakan.

Lutut meletup

Setiap tindakan yang biasa kita lakukan setiap hari seperti menaiki tangga, membuka pintu malah menyikat rambut akan mengakibatkan kesakitan kepada pengidap penyakit ini.

Itulah yang berlaku kepada Zainaton Hassiah Mohamad Kamal yang menderita penyakit osteoartritis sejak dua tahun lepas.

Bagi Zainaton Hassiah, penyakit ini mula dikesan setelah dia menghadapi kesukaran untuk menggerakkan bahagian lututnya malah setiap kali dia cuba bangun dari duduk, lututnya pasti akan mengeluarkan bunyi seperti meletup.

Setelah menjalani pemeriksaan di Hospital Pusrawi di Jalan Ampang, Zainaton disahkan mengidap penyakit osteosrtritis berikutan rawan yang terdapat di bahagian lututnya semakin menipis.

Ini mengakibatkan bahagian tulangnya bergeser antara satu sama lain sekali gus menyukarkan pergerakan harian.

Bagi wanita berusia 40 tahun ini, dia tidak menyangka akan mengidap penyakit sedemikian memandangkan sebelum ini dirinya merupakan seorang yang aktif dalam kegiatan sukan mencabar seperti mendaki gunung dan juga "jungle tracking".

Namun setelah berhenti dari kegiatan sukan berkenaan untuk jangka masa yang agak lama ditambah pula dengan peningkatan berat badan, ia mungkin menyumbang kepada Zainaton Hassiah mengidap penyakit ini sekarang.

Semakin sakit

Zainaton Hassia mula didiagnosis menghidap penyakit osteosrtritis pada 2007 dan doktor telah memberikan beberapa pil ubat untuk meredakan kesakitan memandangkan penyakit tersebut masih di peringkat awal.

Namun, setelah menderita kesakitan sehingga sukar untuk berjalan dan bertugas, doktor menyarankan dia menjalani pembedahan menggunakan kaedah arthroscopy.

Kaedah ini membenarkan doktor melihat ke bahagian dalam sekitar rawan tulang yang sakit menggunakan kamera kecil dikenali sebagai arthroscope tanpa perlu melakukan pembedahan besar.

Alat ini yang turut dilengkapi video masa sebenar akan dimasukkan ke bahagian lutut bagi mencari punca kesakitan sebelum pembedahan dilakukan bagi memulihkan bahagian tersebut atau mengeluarkan bahagian yang rosak teruk.

Ketika ditemui, wanita yang berasal dari Sarawak ini telah semakin pulih dari pembedahannya dan mula menjalani rawatan susulan.

Zainaton Hassia menasihatkan kepada mereka yang mempunyai tanda-tanda penyakit osteoartritis supaya segera menjalani pemeriksaan di hospital bagi mengelakkan penyakit tersebut semakin parah.

"Jangan ambil mudah bila sakit lutut dan sakit di bahagian sendi lain kerana jika tidak dirawat dari peringkat awal, ia akan memberi kesan yang lebih teruk.

"Kebanyakan daripada kita lebih gemar pergi berurut jika berasa sakit di bahagian tersebut dan ia bukan langkah terbaik.

"Doktor mengesahkan saya telah pulih dan saya sangat bersyukur, namun yang pasti saya tidak boleh memakai kasut tumit tinggi selepas ini kerana ia akan memberi kesan ketika saya berjalan," katanya.

Peliharalah mata anda

MATA adalah salah satu organ manusia yang sangat berharga kurniaan Tuhan yang membolehkan kita melihat. Sistem penglihatan yang sempurna ini akan berkurang sedikit demi sedikit apabila meningkatnya usia.

Walaupun ini adalah perkara biasa dalam penuaan, masih terdapat antara kita yang kurang prihatin dalam penjagaan mata, terutamanya mereka yang berumur 40 tahun ke atas.

Terdapat beberapa penyakit dan gangguan mata yang dikaitkan dengan proses penuaan. Dengan adanya teknologi yang sering berkembang hari demi hari, penglihatan yang sempurna dan terang dapat dinikmati oleh semua golongan di hari tua.

Sayangnya, banyak yang berpendapat bahawa tiada bantuan dapat diberikan kepada masalah mata berkaitan dengan penuaan.

Salah satu gangguan mata yang sering berlaku ketika penuaan ialah presbiopia, yang bermula di kalangan mereka dalam lingkungan 40 ke 50 tahun.

Hasil dari penuaan, kanta mula hilang keanjalannya, menyukarkan untuk memfokus jarak dekat seperti aktiviti membaca.

Tetapi presbiopia boleh dibetulkan dengan penggunaan cermin mata untuk membaca atau cermin mata dengan bifocal, trifocal atau kanta (tanpa garis) progresif.

Penuaan mata juga menyebabkan kanta mata menjadi lebih tebal dan kuning iaitu pembentukan katarak awal.

Perubahan ini mungkin akan memberi kesan kepada persepsi warna dan ketajaman penglihatan.

Apabila mata melalui proses penuaan, anak mata menjadi semakin kecil, menyebabkan keperluan kepada lebih cahaya untuk melihat dengan jelas.

Terdapat juga beberapa situasi lain yang membolehkan kehilangan penglihatan, antaranya degenerasi makula, glaukoma, katarak dan retinopati diabetis.

Perkara yang paling penting di dalam penuaan mata adalah untuk menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk memastikan kesihatan mata dan pengesanan awal sebarang penyakit mata.

Berikut merupakan beberapa persoalan yang sering menjadi persoalan di kalangan pesakit:

1. Apakah faktor yang mempengaruhi kesihatan mata seseorang?

- Terdapat dua faktor utama iaitu faktor genetik dan faktor alam sekitar di samping tabiat pemakanan dan tabiat merokok seseorang.

Faktor genetik menentukan sama ada seseorang itu mengalami rabun, katarak pada umur awal, degenerasi makula dan penyakit mata lain manakala tabiat merokok pula amat mempengaruhi kesihatan mata.

2. Bagaimanakah cara terbaik untuk menjaga kesihatan mata dan mencegah kebutaan ketika umur meningkat?

- Cara terbaik adalah dengan menjaga pemakanan dengan banyak memakan ikan dan sayuran serta makanan kesihatan dan mengelakkan merokok sejak usia muda.

Seperkara lagi bagi mereka yang berumur 40 tahun ke atas, harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan penyakit mata berbahaya yang mungkin tidak mempunyai gejala, seperti kekaburan.

3. Apakah peringkat umur yang harus menjalani pemeriksaan secara berkala oleh pakar mata?

- Mereka yang sihat tubuh badan dan berumur kurang daripada 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata setiap dua tahun dan setelah berumur 40 tahun, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun.

Jika seseorang mengidap kencing manis atau darah tinggi, harus menjalani pemeriksaan setiap tahun walaupun berumur kurang daripada 40 tahun.

4. Kenapa mereka yang berumur 40 tahun ke atas harus menjalani pemeriksaan mata setiap tahun?

- Apabila anda berumur 40 tahun, risiko untuk mendapat penyakit mata meningkat. Penyakit mata yang berbahaya mungkin menyebabkan kebutaan termasuklah glaukoma, degenerasi makula dan katarak.

Semua penyakit ini tidak mempunyai gejala pada peringkat awal dan hanya dapat dikesan oleh pakar mata.

Pemeriksaan mata juga mungkin mengesan penyakit kencing manis dan darah tinggi melalui perubahan pada salur darah mata dalam keadaan berkenaan.

5. Apakah risiko untuk seseorang berumur lebih 40 tahun mengalami masalah gangguan penglihatan?

- Statistik menunjukkan sebanyak satu pertiga daripada mereka yang berumur 40 tahun ke atas mengalami masalah mata.

Pakar mata harus mengesan penyakit mata sebelum berlaku kebutaan yang kekal. Adalah tidak bijak untuk menunggu sehingga ada masalah sebelum menjalani pemeriksaan mata.

6. Apakah yang dilakukan ketika pemeriksaan mata oleh pakar mata?

- Pemeriksaan mata sepenuhnya mengambil masa 30 minit di mana sejarah kesihatan anda dan keluarga anda diteliti terlebih dahulu.

Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan menggunakan berbagai alat untuk menentukan struktur mata anda sihat.

Tekanan mata juga diperiksa untuk menentukan anda tidak mengidap glaukoma. Gambar retina anda akan diambil untuk dokumentasi dan sebagai rekod status saraf mata dan retina anda.

Otot mata anda juga diperiksa untuk menentukan otot bergerak dengan sempurna. Refraksi dilakukan untuk menentukan keperluan anda untuk memakai cermin mata dan adakah cermin mata yang digunakan sesuai.

Setelah pemeriksaan dilakukan, pakar mata akan menerangkan kepada anda status mata dan memberi nasihat yang perlu untuk menjaga kesihatan mata anda.

7. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang merokok dan kesihatan mata?

- Saya sering berjumpa pesakit, selalunya lelaki, yang berumur kurang dari 40 tahun yang merupakan perokok tegar dan mengidap katarak pada kedua belah mata.

Terdapat juga di kalangan perokok yang mengalami degenerasi makula yang menyebabkan kebutaan kedua belah mata pada peringkat umur melebihi 65 tahun.

Mereka selalunya menyesal tetapi keadaan mata telah teruk dan mereka menjadi buta untuk selamanya dan rawatan yang mahal hanya dapat memulihkan sedikit sahaja penglihatan mereka.

8. Apakah pengalaman doktor dengan mereka yang lambat berjumpa pakar mata?

- Terdapat pesakit yang datang lewat hanya setelah mereka benar-benar tidak dapat melihat lagi.

Ini sering berlaku kepada pesakit kencing manis. Mereka menjadi buta dengan cepat dan walaupun dirawat, penglihatan hanya dapat dipulihkan dengan sedikit sahaja.

Semua warga Malaysia melebihi 40 tahun harus menjalani pemeriksaan mata secara berkala oleh pakar mata untuk mengesan sebarang masalah yang wujud dari peringkat awal dan mencegah kebutaan.

Jika keluarga anda mengalami masalah mata, kencing manis, penyakit serius atau pun memakan ubat yang mungkin mempunyai kesan ke atas mata, mereka seharusnya menjalani pemeriksaan mata yang sepenuhnya.

Robot peneraju masa depan perubatan

PADA zaman teknologi ini manusia semakin obses mencipta kemudahan berasaskan robot untuk membantu manusia melaksanakan pelbagai tugasan.

Robot kini bukan sahaja digunakan secara meluas dalam sektor perindustrian,

perkilangan, mengendalikan kerja berat atau bidang ketenteraan. Tidak ketinggalan, bidang perubatan turut melakukan pembedahan robotik.

Webster's New World Dictionary 1969 mendefinisikan robotik sebagai sains dan teknologi robot, termasuk reka bentuk, pengeluaran, aplikasi dan kegunaan lain.

Di Eropah, robotik didefinisikan sebagai "Sains Robotologi" dan Robotologi didefinisikan sebagai cara bagaimana mesin robot digabungkan dan melakukan kerja. Kebanyakan orang menganggap robotik sebagai satu bahagian teknologi tetapi robotik meliputi pelbagai bidang teknologi seperti mekanikal, elektrik, elektronik, sistem, perkakasan dan perisian komputer serta pelbagai teknologi canggih yang lain.

Ciptaan robot semakin canggih bersesuaian dengan kegunaan untuk menjalankan tugas manusia dalam dunia perubatan yang bermula sejak 1985 lagi.

Pada awalnya, teknologi robot untuk membantu bidang perubatan dikenali sebagai PUMA 560 yang digunakan untuk meletakkan jarum pada biopsi otak.

Kemudian pembedahan robotik semakin dikenali ramai dan pada 1988 PROBOT pula digunakan untuk pembedahan prostat di England.

Penggunaan robotik untuk membantu doktor menjalankan pembedahan semakin popular apabila Integrated Surgical System memperkenalkan ROBODOC pada tahun 1992 dicipta untuk pembedahan penggantian pinggul.

Pada tahun 1999, robot bedah iaitu Sistem Pembedahan Da Vinci selepas diluluskan Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA).

Kemudian, pada tahun 2000 pembedahan robotik ini diguna dalam prosedur pembedahan dada(thoracoscopic), sesetengah prosedur ginekologi dan jantung, urologi.

Empat tahun kemudian, Hospital Kuala Lumpur (HKL) menggunakan pembedahan robotik untuk pembedahan rawatan masalah kesihatan urologi.

Ia menjadi perintis kemajuan teknologi perubatan tempatan.

Pada bulan Mei tahun lalu, sekumpulan doktor di sebuah hospital di Kanada berjaya menjalankan pembedahan pertama di dunia menggunakan robot bagi membuang ketumbuhan otak seorang pesakit wanita di negara itu.

Pembedahan bersejarah itu dilakukan pakar bedah Pusat Perubatan Foothills di Calgary menggunakan sistem robot yang baru direka, dikenali NeuroArm untuk mengeluarkan ketumbuhan sebesar telur ayam dari otak Paige Nickason, 21.

Dalam pembedahan tersebut, robot yang mempunyai dua lengan itu menggunakan peralatan pembedahan sebagai tangannya dan dipantau pakar bedah menggunakan sistem kawalan jauh serta skrin pengimbas.

Sistem pembedahan robotik menggunakan beberapa alatan iaitu sebuah konsul komputer pengantara yang mempunyai alat pemegang untuk pakar bedah, tayangan video berkualiti tinggi, rangkaian berwayar yang menterjemahkan segala pergerakan pakar bedah dan sistem tangan robotik.

Bagi melakukan pembedahan, pakar bedah juga berada di bilik bedah dan duduk di bahagian khas mesin yang terletak tidak jauh daripada pesakit.

Seperti pembedahan yang dilakukan pakar pakar, tangan-tangan robot akan dimasukkan ke dalam perut pesakit melalui selitan kecil yang dibuat terlebih dahulu atau melalui tali pusat pesakit.

Dengan adanya teknologi ini, tugas pakar bedah menjadi lebih mudah dengan hanya memantau atau menyelaraskan kedudukan tangan-tangan robot tersebut.

Namun, pakar bedah masih menggunakan khidmat pembantu iaitu doktor bedah.

Sistem ini lebih tepat kerana tangan-tangan robot dapat berfungsi dengan tepat apabila menggerakkan serta memasukkan peralatan endoskopi.

Pakar atau doktor bedah juga dapat menumpukan perhatian dengan jelas serta tepat kawasan pembedahan dengan adanya kombinasi kecekapan teknologi komputer dan kepakaran perubatan manusia.

Ini jelas apabila pembedahan robotik lebih cermat dalam mengawal pergerakan mikro sewaktu pembedahan dijalankan ke atas pesakit.

Faktor ini disebabkan penterjemahan yang jelas tentang segala pergerakan semula jadi tangan pakar bedah yang menjalankan pembedahan.

Oleh itu, mereka dapat membuat kawalan pergerakan dengan lebih teliti dan berhati-hati melalui paparan skrin komputer.

Ternyata, pembedahan robotik merupakan sistem perubatan yang lebih tepat dan stabil.

Ini kerana tangan besi robot dapat melakukan pembedahan jauh lebih stabil daripada tangan manusia.

Berbeza daripada pembedahan biasa, pakar bedah tidak perlu berdiri dalam keadaan tekanan dan penat untuk melakukan pembedahan. Kini, pakar bedah hanya perlu duduk di hadapan skrin untuk membedah pesakit.

Selain itu, suasana kritikal bilik pembedahan yang perlu menggunakan banyak alatan bedah lebih terkawal. Dengan adanya pembedahan robotik, kawasan bilik bedah lebih selesa tanpa ketegangan.

Tidak ketinggalan, sistem komputer robotik ini juga dapat mengesan dan menapis jika terdapatnya tangan doktor yang menggeletar ketika melakukan pembedahan.

Sistem Pembedahan Da Vinci

l Sistem pembedahan Da Vinci ialah robot pembedahan laparoskopik intuitive iaitu bergerak ikut kata hati.

l Ia merupakan gabungan teknologi robotik terkini iaitu teknologi komputer dan kepakaran pakar perubatan.

l Sistem ini terdiri daripada tiga komponen, konsul komputer dengan skrin tiga dimensi, bed site chart dan penganalisis imej.

l Robot bedah memiliki tiga tangan panjang yang masuk ke dalam tubuh pesakit melalui port yang ditanam pada lubang kecil (key hole) pada abdomen pesakit.

l Tangan robot utama iaitu central arm dikawal ketua pakar bedah menerusi konsul komputer. Tangan robot (arms) pula dikawal dua pembantu iaitu doktor bedah.

l Teknologi ini berfungsi membawa masuk peralatan seperti gunting, forsep, pemotong kuasa elektrik (colgation), menyambung dan memutuskan organ (switchering) dan memegang organ ketika menjahit (graspers).

l Dua tangan robot yang bertanggungjawab mengendalikan pembedahan yang mempunyai forsep dan hook yang membawa kuasa elektrik.

l Kuasa elektrik ini bertanggungjawab membakar salur darah yang dipotong bagi mengelak pengaliran darah di situ.

l Semua peralatan berukuran empat ke lima milimeter.

l Kamera yang ada pada konsul komputer berkemampuan menggandakan imej hingga 10 kali saiz asal dan difokuskan (zoom) untuk imej yang jelas.

Master control video di konsul komputer menggerakkan tangan robot di dalam badan ketika pembedahan.

l Komponen ketiga adalah penganalisis imej - perantara di antara konsul yang dikendalikan doktor dan imej yang dikendalikan robot untuk menghasilkan visual pada konsul dalam bentuk 3D.

l Menerusi pembedahan robot, jahitan rumit dan halus sukar dilakukanmelalui pembedahan biasa atau open surgery dapat dilakukandengan sempurna.

l Pakar juga boleh melihat dengan lebih jelas malah imej juga boleh dibesarkan ketika memotong dan menjahit organ yang rumit dan kecil.

l Tujuan teknologi ini ialah memendekkan tempoh pesakit untuk sembuh dan menjimatkan masa pembedahan kepada separuh. Di samping itu, pembedahan robotik dapat mengurangkan masalah pendarahan dan tidak membabitkan pemindahan darah.

l Pesakit boleh keluar dari wad dalam tempoh 24 jam dan tiub kateter dibuang dalam tempoh lima hari. Ia dapat mengurangkan kesan sakit akibat pembedahan.

l Dalam kes tertentu, pesakit hanya perlu tinggal di wad selama 10 hari hingga jahitan dibuka manakala tiub kateter dibuang selepas dua minggu jika pembedahan konvensional.

l Ada pesakit yang boleh berjalan empat jam selepas pembedahan berbanding tiga ke empat hari selepas pembedahan konvensional. Ia membolehkan pesakit kembali melakukan aktiviti normal dengan segera.

Pembedahan robotik Cyberknife

l Cyberknife merupakan robot pembedahan berkomputer dengan ketinggian lebih kurang 12 kaki.

l Ia seperti hidup dan menghasilkan gerakan-gerakan perlahan ala tai chi yang cukup mengasyikkan semasa prosedur rawatan.

l Cyberknife menggunakan sistem pemanduan imej yang mirip kepada sistem yang digunakan di dalam teknologi peluru berpandu yang dilengkapi teknologi berkomputer di samping kamera imej sinar X.

l Cyberknife menggunakan pancaran berganda radiasi yang bertenaga tinggi, bersumber daripada tangan robotik yang anjal ke ketumbuhan atau lesi yang telah disasarkan atau ditempatkan (seperti sistem pemanduan peluru berpandu) di dalam badan pesakit.

l Ia juga meminimumkan pendedahan radiasi terhadap tisu-tisu normal yang sihat di sekeliling tumor yang dirawat.

l Terapi radiosurgeri konvensional biasanya turut menjejaskan sebahagian besar tisu-tisu sihat yang tidak memerlukan radiasi.

l Cyberknife boleh disasarkan kepada tumor yang kecil atau mempunyai bentuk yang kompleks berdekatan struktur kritikal seperti saraf penglihatan dan pendengaran tanpa meninggalkan kesan terhadapnya.

Tanam bendi bantu sara keluarga

MELIBATKAN diri dalam kerja-kerja pertanian bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia menuntut kesabaran dan kecekalan seseorang untuk menghadapi cabarannya.

Namun, tidak semua individu di muka bumi ini dibekalkan dengan kesungguhan untuk terus berbakti kepada tanah walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan.

Sesetengah golongan petani mungkin mempunyai alasan atau matlamat mereka sendiri dalam bidang pertanian yang secara tidak langsung menjadikan mereka kuat untuk terus melaksanakan tugas berkenaan.

Bagi Abu Mansor Hashim, 43, selain minat, penglibatan beliau dalam dunia pertanian juga sebenarnya dijadikan sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga.

Pada peringkat awal, beliau memulakan langkahnya dengan mencuba menanam beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili, bendi, keladi, timun dan terung secara kecil-kecilan selain mengambil upah mengerjakan sawah.

Setelah lebih sepuluh tahun menjalankan kerja tersebut, pada tahun 2006 beliau akhirnya mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada penanaman bendi secara lebih serius.

Bermodalkan pinjaman yang diterima daripada AgroBank sebanyak RM30,000, beliau memulakan projek tanaman bendi di tanah seluas empat ekar di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, Selangor dengan kos menyewa sebanyak RM600 setahun.

Modal dari bank tersebut diperolehi menerusi Dana 3F iaitu Tabung Untuk Makanan dengan tempoh pinjaman selama lima tahun.

Dana berkenaan merupakan inisiatif yang disediakan oleh pihak AgroBank untuk menggalakkan aktiviti pengeluaran makanan dengan tawaran had pinjaman bermula RM10,000 hingga RM10 juta menerusi tempoh pinjaman maksimum 10 tahun.

Antara projek yang layak untuk memohon pinjaman tersebut adalah yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran makanan untuk tanaman, ternakan serta perikanan.

Menurut Abu Mansor, sebelum memulakan projek tanamannya, beliau ada mengambil kira beberapa faktor penanaman dan juga risiko yang perlu ditanggung.

"Saya ada membuat serba sedikit pemantauan terhadap harga pasaran bendi untuk melihat sejauh mana sambutan pengguna terhadap sayur ini.

"Dari segi teknikal pula, saya menjalankan pemeriksaan tahap kesuburan tanah di kawasan tanaman ini untuk memastikan ia subur dan sesuai untuk projek tanaman bendi,'' katanya ketika ditemui di ladangnya baru-baru ini.

Bercerita mengenai projek tanamannya, beliau memberitahu, pokok bendi mengambil masa selama 45 hari untuk berbuah dan pokoknya boleh bertahan selama lebih kurang tujuh hingga lapan bulan tanpa penanaman semula.

Untuk memastikan pokok tersebut membiak dengan baik, proses pembajaan dijalankan setiap hari selain penyemburan racun dilakukan tiga hari sekali bagi mengelakkan jangkitan penyakit.

Dari segi percambahan, beliau berkata, pokok bendi mempunyai peratus pertumbuhan yang tinggi dan kadar kematiannya pula adalah rendah.

Namun, pemantauan perlu dijalankan setiap hari bagi memastikan pokok-pokok tersebut bebas dari penyakit.

Antara jenis masalah yang sering menyerang pokok bendi adalah seperti serangan serangga bena hijau yang menyebabkan pelbagai penyakit seperti kerosakan pada daun, pucuk menjadi kuning dan tidak bertindak balas terhadap baja.

Setakat ini beliau mempunyai seramai lima orang pekerja untuk membantunya menjalankan kerja-kerja meracun dan juga membaja selain memetik hasil ketika tiba musim menuai.

"Kerja memetik hasil ini perlu dilakukan setiap hari untuk mengelakkan saiz bendi daripada terlalu menjadi besar dan panjang.

"Ini kerana untuk tujuan pasaran, kebanyakan pengguna menggemari sayur bendi yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu besar,'' kata ayah kepada empat orang anak itu.

Untuk sekali proses menuai hasil, ladangnya berjaya menghasilkan sehingga 700 kilogram bendi sehari.

Hasil tersebut akan dijualkan terus kepada pemborong dan peniaga dari Pasar Selayang yang akan datang ke ladangnya setiap hari dengan harga RM2.80 hingga RM3 sekilogram.

Beliau yang pernah bertugas sebagai kontraktor pembinaan di Singapura selama lapan tahun berkata, harga borong untuk bendi adalah bergantung kepada permintaan dan juga kualiti buahnya.

Dari segi kos pembiayaan tanaman, beliau perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk membeli baja dan racun rumpai.

Harga untuk benih juga tidak kurang tingginya iaitu RM110 satu tin di mana ladangnya memerlukan sebanyak 16 tin untuk sekali proses penanaman.

Berkat kesabaran dan kerja kerasnya, beliau kini telah memperluaskan penanaman bendinya di tanah seluas satu ekar milik bapanya berhampiran rumah beliau.

"Melalui perluasan kawasan ini, dapatlah saya menambah pendapatan untuk membantu menyara keluarga,'' jelasnya.

Jika mempunyai peluang, beliau juga bercadang untuk memperkembangkan ladangnya agar tanaman secara penggiliran dapat dijalankan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Setakat ini, beliau belum bercadang untuk membuka kursus atau latihan kepada penanam-penanam baru yang berminat.

Justeru, beliau menasihatkan sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan agar berani mencuba dan belajar sedikit demi sedikit.