Sunday, February 8, 2009

Agro Bank bimbing usahawan tani

Agro Bank akan terus menjadi peneraju dalam usaha membimbing bakal usahawan menceburi bidang pertanian.

Ini dilakukan dengan menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Tani yang menyediakan dana berjumlah lebih RM2 juta pada tahun ini.

Sebanyak 64 siri kursus melibatkan pelbagai sektor telah disenaraikan pada tahun ini yang akan melibatkan kira-kira 2,000 peserta.

Seperti sebelum ini, program pembangunan usahawan tani yang dianjurkan oleh bank terbabit dilaksanakan menerusi Pusat Latihan Agro Bank (Abadi) yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Justeru, peserta bukan sahaja disediakan dengan modul latihan yang lengkap dan sesuai dengan keperluan dan cabaran semasa dalam sektor pertanian tetapi juga persekitaran kondusif untuk menimba ilmu.

Bagaimanapun menurut Pengurus Abadi, Abdul Shukor Abdul Jabbar, jumlah peruntukan yang disediakan dan kemudahan yang sesuai bukanlah jaminan mudah bagi peserta bergelar usahawan tani, sebaliknya mereka perlu mempunyai sikap positif untuk berjaya.

"Sebagai contoh, peserta perlu mempunyai minat untuk mengambil tahu mengenai bidang yang mereka ingin ceburi dan bukan bertujuan mengambil mudah suka-suka sahaja,'' katanya..

Ini kerana katanya, menceburi bidang pertanian bukanlah satu perkara mudah berdasarkan kepada konsep 3D iaitu Dirty (kotor), Danger (berbahaya) dan Difficult (rumit) yang menunjukkan bahawa mereka perlu mempunyai tahap kesabaran dan daya tahan yang tinggi.

Selain itu, peserta juga perlu memastikan bahawa lokasi projek pertanian yang dijalankan mestilah sesuai dan tidak terlalu jauh ke pedalaman.

Pada masa sama, peserta perlu menguasai kemahiran teknikal sektor yang diceburi untuk memastikan projek dapat berjalan dengan baik.

Oleh sebab itulah, pihaknya bukan sahaja memilih kursus yang sesuai untuk disertai peserta tetapi juga lengkap dengan keperluan semasa dan paling penting menyahut seruan kerajaan.

Beliau memberi contoh, antara kursus yang dijalankan pada tahun ini ialah penanaman menggunakan sistem fertigasi, penternakan ikan puyu dan ketutu, penanaman cendawan, ternakan kambing memproses bebola ikan, ternakan tilapia dan ternakan ketam, penyediaan makanan ruminan, ternak lintah dan pemprosesan buah-buahan.

"Kami juga menawarkan kursus merangka rancangan perniagaan dan memperkenalkan strategi menghubungkan pengusaha dengan industri atau pengusaha dengan pembeli,'' katanya.

Apa yang penting tegas beliau, peserta bukan sahaja perlu hadir kursus kali pertama tetapi juga mereka perlu bersedia menghadiri kursus-kursus lanjutan yang seterusnya.

Oleh itu, mereka mampu menguasai kemahiran di peringkat pengurusan projek sehingga kepada pengurusan perniagaan atau dari A sehingga Z termasuk aspek pemasaran.

Selain itu, strategi Agro Bank juga mahu supaya peserta yang bakal mengusahakan projek pertanian memilih lokasi sesuai untuk memudahkan pemasaran.

Sebab itu, pihaknya memilih tempoh kursus antara tiga dan lima hari yang dianggap sesuai untuk menimba ilmu dan dan pada masa akan datang melengkapkan ilmu dengan menyertai kursus lanjutan.

Beliau berkata, sambutan daripada peserta amat menggalakkan yang mana dengan kerjasama yang diadakan dengan akhbar Utusan Malaysia menerusi sisipan Mega berjaya menghebahkan kepentingan mengadakan program seumpama itu.

Pada tahun ini, Agro bank sekali lagi akan membentuk kerjasama dengan Utusan Malaysia untuk mengadakan pelbagai kursus pertanian untuk mereka yang berminat.

Abdul Shukor menambah, sejak diadakan pada 2007 hingga tahun lepas, sebanyak 8,971 peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

Program tersebut katanya, merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Usahawan Tani yang dirangka Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan akan berakhir pada tahun depan.

Usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani sangat penting dalam usaha menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara.

Usahawan sayur fertigasi

Walaupun tidak mempunyai latarbelakang yang formal dalam bidang pertanian tetapi tindakan Ammar Abdul Aziz, 35, untuk menjadi usahawan tani sedikit sebanyak dapat menepis anggapan masyarakat terhadap bidang pertanian.

Mendapat ijazah pertama di Hawaii dan ijazah sarjana dalam bidang ekonomi di London, United Kingdom (UK), Ammar mula mengusahakan ladang sayurnya secara sepenuh masa sejak 2005 di atas tanah milik keluarga seluas empat ekar di Kampung Batu 3, Mambau, Negeri Sembilan.

Menceritakan pahit getir bergelumang dalam bidang pertanian khususnya penanaman sayur secara konvensional selama tiga tahun, Ammar berkata, mereka yang mahu bergiat dalam bidang ini perlu mempunyai semangat yang kuat.

"Dalam tempoh dua tahun ini dua kali saya terasa amat putus asa dan berfikir untuk mengalah dan meninggalkan segalanya.

"Tetapi pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian banyak memberikan khidmat nasihat dan galakan kepada saya sehingga saya ke peringkat sekarang," katanya semasa ditemui di ladangnya di Mambau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ammar melahirkan rasa terharu dengan agensi kerajaan yang banyak memberikan galakan walaupun beliau mengalami pelbagai masalah ketika itu.

Biarpun pernah menjawat jawatan glamor dan selesa iaitu pengurus dana, Ammar tidak menyesal meninggalkan semuanya untuk berbakti pada tanah.

Galakkan dan sokongan daripada ahli keluarga terutama ibu dan ayah sentiasa menjadi pendorong untuk terus berjaya.

Setelah berjaya mengharungi pahit maung dalam bidang pertanian, kini beliau yang telah menyewa empat ekar lagi tanah di sebelah tanahnya menanam tanaman berpara seperti kacang panjang, bendi, timun, cili dan cili padi.

Bermula dengan menanam sayur-sayuran secara konvensional, kini Ammar mula menanam cili merah secara fertigasi tertutup sementara cili padi secara terbuka.

Mengaplikasikan kepakarannya dalam strategi kewangan dalam pertanian, Ammar banyak mengumpul data-data hasil ladangnya.

"Data yang saya dapati saya bandingkan dengan data daripada MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) dan Jabatan Pertanian.Jika terdapat perbezaan ketara, saya akan cuba mencari puncanya.

"Setiap pagi saya akan meninjau kebun dan melihat apa yang tidak kena sama ada serangga, virus atau bakteria," katanya.

Ammar akan mengumpul semua data sama ada serangga hidup atau bahagian pokok yang diserang untuk dikaji sama ada di MARDI, Jabatan Pertanian atau institut pengajian tinggi tempatan.

Dengan cara ini, Ammar dapat mengetahui lebih lanjut mengenai makhluk perosak serta racun perosak yang sesuai digunakan.

Memegang pepatah Inggeris, 'tidak mengumpulkan telur dalam satu bakul,' Ammar mengusahakan pelbagai jenis tanaman sebagai persediaan jika sesuatu berlaku pada satu-satu tanamannya.

Ini juga merupakan satu langkah supaya pendapatannya berterusan sementara menunggu tanaman lain mengeluarkan hasil.

"Saya 'melayan' kebun sayur saya sama seperti bisnes-bisnes lain dengan strategi yang sama.

"Bagi saya pertanian adalah satu perniagaan," katanya yang memulakan pertanian menggunakan modal daripada simpanannya sendiri.

Baginya setiap tanaman mempunyai kelebihan dan kelemahannya sendiri misalnya bendi dikatakan tanaman paling mudah ditanam tetapi harganya pula agak murah.

Cili merah dan cili padi yang mempunyai harga yang tinggi tetapi penjagaannya agak sukar dan memerlukan tenaga buruh yang ramai bagi tujuan memetik.

Ammar juga menjalankan strategi merekodkan dan mengumpul semua harga sayuran di pasaran bagi membolehkannya memantau harga di masa akan datang.

"Mainan harga sudah menjadi asam garam hidup sehingga saya mengambil inisiatif memantau dan merekodkan harga sayuran setiap hari.

"Ini bagi memastikan saya boleh mendapatkan tanda aras harga setiap sayuran dan boleh menjualnya dengan harga yang berpatutan," katanya yang bercita-cita membesarkan lagi ladang sayurnya.

Selepas menjalani pelbagai 'kisah pahit' dalam pertanian, kini Ammar melibatkan diri dalam fertigasi pokok cili.

Menjalankan trial and error dalam pertanian selama dua tahun menjadikan Ammar lebih matang dalam mengharungi industri tanaman.

Beliau yang amat peka dengan apa yang berlaku di ladangnya tidak pernah memohon mana-mana pinjaman selama membuka ladang sayur-sayuran.

"Sejak awal saya mengeluarkan wang poket sendiri untuk menguruskan ladang ini dan saya masih belum menganggap diri saya berjaya.

"Saya berharap suatu hari nanti, pekebun sayur akan dapat hidup mewah dengan hasil jualan sayur mereka," katanya.

Samsung beri harapan kepada rumah kebajikan

Masa depan yang cerah menanti penghuni tiga rumah kebajikan Malaysia yang layak menerima sumbangan daripada Samsung Hope, iaitu satu inisiatif derma korporat baru yang bertujuan membela kanak-kanak kurang bernasib baik.

Samsung Malaysia telah memilih tiga pertubuhan penerima - Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Rumah Shelter dan World Vision Malaysia (bagi projek pendidikan kanak-kanak di Lawas, Sarawak).

Setiap satu dipilih berasaskan peranan penting yang dimainkan untuk menangani isu kanak-kanak di Malaysia.

Sejumlah RM292,500 telah diperuntukkan untuk tiga pertubuhan penerima dan masing-masing akan menerima jumlah asas RM65,500 selain bantuan tambahan.

Maklumat mengenai pertubuhan penerima sudah dimuatkan ke dalam laman mikro Samsung Hope (www.samsunghope.org) dan rakyat Malaysia boleh menyokong rumah kebajikan pilihan mereka dengan memperuntukkan sumbangan kepada pertumbuhan tersebut.

Orang ramai juga boleh mengunjungi blog http://samsunghope.blogspot.com untuk maklumat terkini tentang aktiviti tiga pertubuhan penerima sumbangan ini.

Samsung Hope ialah satu inisiatif serantau yang membabitkan sumbangan geran tertinggi pernah dicatatkan berjumlah RM2,5 juta (AS$700,000) kepada 21 rumah kebajikan kanak-kanak di Asia Tenggara dan Oceania.

Program tersebut bertujuan memperkasa rakyat dari setiap negara untuk memainkan peranan aktif menyumbang kepada usaha kebajikan pilihan mereka dengan menentukan peruntukan dana geran.

Samsung Hope ialah nama naungan baru bagi semua kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung.

Di luar rantau ini, Samsung juga baru-baru ini menandatangani perjanjian usaha sama baru dengan Yayasan Belia Antarabangsa (IYF) untuk menangani masalah pengangguran di kalangan belia di Afrika dengan memberikan latihan kemahiran kerja dan mempersiapkan golongan muda untuk membina kerjaya jangka panjang yang membawa kejayaan.

"Samsung telah memainkan peranan aktif untuk menyelesaikan masalah sosial di merata rantau ini menerusi inisiatif seperti Digital Hope, yang dilancarkan pada 2003 untuk membantu usaha merapatkan jurang digital," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd., Lee Tae Jik.

Samsung Hope terus mengambil satu lagi langkah dengan meminta masyarakat menentukan peruntukan geran.

Menerusi langkah memperkasakan orang ramai ini, kami ingin meningkatkan kesedaran sosial mengenai nasib kanak-kanak yang memerlukan dan mendorong masyarakat untuk membantu kanak-kanak mencorakkan masa depan yang cerah dan mencapai potensi masing-masing.

Tiga pertubuhan penerima yang terpilih ialah:

Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS)

Persatuan ini ditubuhkan atas inisiatif Datuk Nazir Ariff semasa beliau memikul tanggungjawab sebagai Presiden Kelab Rotary di Pulau Pinang (1991) dan dilancarkan secara rasmi pada 1992 oleh Puan Sri Chua Kah Peng. Pertubuhan ini merupakan sebuah organisasi bukan keuntungan, bukan kerajaan yang memenuhi keperluan kanak-kanak yang terabai atau terbiar di Pulau Pinang. Matlamat CPS ialah menyediakan persekitaran yang selamat, sesuai dan memberikan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko.

Rumah Shelter

Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar, beroperasi sejak 1981 untuk membantu kanak-kanak yang didera, ditinggalkan, diabaikan atau berisiko.

Rumah Shelter bagi Kanak-Kanak bermula sebagai satu wawasan sekumpulan tujuh sahabat yang beriltizam membantu kanak-kanak di sebuah perkampungan setinggan di Jalan Klang Lama.

World Vision Malaysia

World Vision Malaysia (WVM) ditubuhkan pada 1997 sebagai organisasi sokongan bagi World International, sebuah organisasi kemanusiaan, bantuan dan pembangunan Kristian global demi kesejahteraan semua, khususnya golongan kanak-kanak.

WVM ialah ahli World Vision International dan komited untuk menggalakkan transformasi dan pembangunan masyarakat pendapatan rendah dan memberikan bantuan, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi dan menegakkan keadilan.

WVM membantu golongan miskin dan bekerjasama dengan mereka untuk membina masa depan yang cerah bagi kanak-kanak, keluarga dan masyarakat masing-masing.

Projek Lawas, yang bermula pada Mac 2007, bertujuan menggalakkan pembinaan kapasiti dan memajukan masyarakat menerusi pendidikan prasekolah bagi suku kaum Lunbawang yang tinggal di dalam dan sekitar daerah Lawas di Sarawak.

Sebahagian besar daripada kanak-kanak kecil Lunbawang tidak memperolehi khidmat penjagaan kesihatan dan juga pendidikan awal yang sempurna. Justeru, mereka tidak dapat mencapai tahap akademik setanding rakan-rakan lain apabila memasuki Tahun Satu sekolah kerajaan.

Penyelesaian pintar di pejabat

Peneraju dunia penyelesaian pejabat digital, Ricoh, memperkenalkan pencetak laser desktop hitam putih semua dalam satu bagi golongan pertengahan - Aficio SP 3300DN.

Selain kompak dan menjimat Aficio SP 3300DN merupakan satu pilihan pencetakan ideal kerana mempunyai kelajuan cetakan 28 muka surat seminit dan resolusi sehingga 1,200 x 1,200 dpi.

Produktivitinya juga optimum kerana masa pemanasan adalah singkat dan pengguna boleh mula mencetak dengan kelajuan 8.5 saat.

Pemprosesan CPU berkuasa 400MHz dan standard 32MB RAM menghasilkan cetakan yang pantas dan lancar.

Pengguna tidak hanya boleh mencetak dengan Aficio SP 3300DN tetapi juga membina poster dan mengumpulkan beberapa imej kepada satu muka surat.

Dilengkapi dengan fungsi pencetakan biasa, pencetak laser mampu dimiliki oleh bisnes kecil-kecilan, pejabat rumah dan kumpulan kerja bersaiz sederhana.

Disebabkan oleh masa penggunaan yang panjang, kos per cetak diminimumkan sementara kitaran tugas mencetak sehingga 50,000 keping membolehkan produktiviti yang tinggi.

Direka dalam saiz kecil, Aficio SP 3300DN adalah ringan dan boleh diletakkan di kawasan yang kecil dan terhad.

Ia dilengkapi dengan dulang 250 helai kertas dengan pilihan unit tambahan 250 helai kertas lagi.

Pencetak berkenaan menerima semua kertas bersaiz A4 hingga A5 dan dulang pilihan menerima pelbagai media lain seperti sampul surat, transparensi, poskad, label dan kertas tebal sehingga 163 gram.

Aficio SP 3300DN boleh didapati dengan harga RM1,299 dan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut boleh melayari www.ricoh.com.my.

Lenovo untuk aplikasi moden

   

 KEPERLUAN yang pelbagai dan kemudahan sofistikated dalam bidang pengkomputeran mobiliti telah mendorong banyak pembaharuan dilakukan dalam menghasilkan komputer riba moden.

Bukan setakat aplikasi yang ditawarkan, malah dari sudut kejuruteraan dan rekaannya juga telah dipertingkatkan bagi memberi kepuasan kepada banyak segmen pengguna.

Mengambil contoh Lenovo, syarikat berkenaan sentiasa tampil dengan inovasi dan idea terkini selain menawarkan pelbagai ciri menarik dan canggih pada produknya.

Lenovo baru-baru ini telah memperkenalkan siri komputer riba IdeaPad menerusi empat model yang berbeza iaitu Y650, Y550, Y450 dan S10.

Kehadiran keluarga baru bagi komputer riba itu menawarkan pengguna dengan pelbagai pembaharuan dan peningkatan dari segi kuasa serta aplikasinya.

Memberi fokus kepada aktiviti hiburan berdefinisi tinggi, kesemua model tersebut didatangkan dalam saiz yang kecil, ringan dan nipis berbanding model terdahulu sebagai pilihan terbaik kepada pengguna.

Bagi IdeaPad model Y650, Y550 dan Y450, ia dibangunkan dengan rekaan moden berbentuk heksagon berwarna hitam berkilau pada bahagian penutupnya dengan sentuhan tembaga pada lilitan luarnya.

Buat pertama kalinya, Lenovo menampilkan paparan skrin luas 16 inci pada model IdeaPad Y650 tetapi masih mengekalkan ciri ringannya bagi kemudahan mobiliti.

Kesemua siri Y berkenaan turut diintegrasikan bersama ruang storan cakera keras 500 gigabait (GB) dan memori DDR3 4GB.

Dari segi kelebihan aplikasi hiburan, kesemua model siri Y itu dilengkapi dengan panel paparan berkilat berformat 16:9, kad grafik NVIDIA GFX generasi terkini untuk permainan video serta fungsi audio sekitar Dolby Home Theater.

Model-model tersebut juga dilengkapi dengan perisian Lenovo OneKey Theater bagi mempertingkatkan pengalaman aplikasi audio dan video serta memilih mod sama ada permainan video, filem atau muzik.

Kelebihan lainnya adalah ia dilengkapi dengan fungsi sambungan wayarles, Wi-Fi, Bluetooth serta aplikasi Lenovo OneKey Rescue System untuk menyelamatkan data sekiranya berlaku kegagalan pada sistem.

Untuk model S10 pula, ia merupakan sebuah netbook yang menyasarkan golongan pengguna baru untuk menjalankan aplikasi asas seperti pelayaran Internet, permainan muzik, paparan foto, aplikasi mesej pantas dan sebagainya.

Remaja menang 100 gajet elektronik

SUKAR untuk dipercayai atau mungkin menganggapnya sebagai suatu mimpi jika kita menerima kemenangan luar biasa yang tidak pernah diduga.

Namun, itulah realitinya yang berlaku ke atas seorang remaja berusia 19 tahun, Tan Kean Meng apabila diumumkan sebagai pemenang utama peraduan '100 Gajet 1 Pemenang' anjuran majalah PC.com.

Kejayaan tersebut sekali gus melayakkan beliau membawa pulang 100 buah gajet elektronik seperti skrin plasma, skrin LCD 42 inci, komputer riba, telefon bimbit, pencetak dan pelbagai lagi.

Peraduan tersebut dianjurkan sempena keluaran majalah PC.com isu ke-100 pada akhir tahun lepas.

Format peraduan itu mengkehendaki peserta meneka nilai keseluruhan 100 buah gajet elektronik yang dipamerkan di pusat membeli belah One Utama, Petaling Jaya

Pemenang telah ditentukan berdasarkan nilai tekaan paling hampir dengan nilai sebenar dan juga slogan yang terbaik.

Kemenangan telah berpihak kepada Kean Meng apabila beliau telah meneka nilai RM57,532 iaitu hampir dengan nilai sebenar RM55,759.

"Untuk membantu saya mendapatkan harga gajet-gajet tersebut, saya telah mengunjungi beberapa kedai elektrik dan kedai komputer," katanya selepas majlis penyampaian hadiah di Digitamart, pusat membeli-belah The Mines, Seri Kembangan baru-baru ini.

Sementara itu, penerbit Reach Publishing Sdn. Bhd., Selva Rajan berkata, pihaknya menerima lebih 4,500 borang penyertaan sepanjang dua bulan peraduan itu berlangsung.

Friday, February 6, 2009

Dompet elektronik gaya hidup baru?

KEMUDAHAN menjalankan transaksi kewangan menerusi laman web sesebuah bank di Internet sudah semakin diterima dan dilaksanakan secara meluas oleh kebanyakan individu di negara ini.Menerusinya, aktiviti seperti membayar bil, pindahan akaun, membeli-belah dan menambah nilai kini berada di hujung jari pengguna dan boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja.Namun, tidak dinafikan masih ada sesetengah golongan yang kurang mempercayainya dengan menganggap saluran tersebut tidak memberi jaminan dari segi keselamatan dan masih ingin terus menggunakan cara konvensional.Tetapi jika ditanya kepada golongan yang telah menggunakan perkhidmatan tersebut pula, mereka mungkin berpendapat ia amat mudah dan menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi beratur panjang di kaunter.Walau apa pun pendapat yang dilontarkan, kemajuan teknologi akan tetap berkembang dalam membekalkan kemudahan moden dan canggih untuk diaplikasikan oleh manusia.Tidak cukup dengan perkhidmatan itu, pengguna kini ditawarkan dengan satu lagi kemudahan pengurusan kewangan terbaru yang dikenali sebagai dompet elektronik atau e-dompet.Pengenalannya bertujuan untuk memudah dan melancarkan pembayaran di institusi kewangan sama ada untuk transaksi tunai, kad kredit, kad debit, cek, program kad kesetiaan pelanggan, item promosi seperti kupon dan sebagainya.Ketika ini, kebanyakan pengguna akan mengunjungi sendiri bank untuk menguruskan transaksi berkenaan dengan melibatkan pelbagai dokumen atau menggunakan telefon bimbit sebagai medium mudah alih.Namun dengan kehadiran alat dompet elektronik ini, fokus akan diberikan kepada kawalan kewangan yang lebih teratur, mudah dan selamat.Secara asasnya, dompet elektronik merupakan instrumen yang menyokong pelbagai aplikasi pembayaran menerusi integrasi bersama perkhidmatan pengurusan secara menyeluruh.Ia mampu menyimpan pelbagai maklumat individu di dalam sistem storannya dan kemudian data tersebut akan dihantar atau diterima ke peranti lain bagi membenarkan aktiviti transaksi.Menerusi e-dompet, pengguna akan dapat mengakses dan melaksanakan aktiviti berkaitan perbankan seperti menerima dan menguruskan bil serta melakukan pembayaran dengan lebih senang dan selamat.Selain itu, perkhidmatan yang dibangunkan berasaskan platform web juga membenarkan transaksi pengurusan kad kredit, perdagangan dan juga utiliti secara maya.Dari segi keselamatan, setiap e-dompet mempunyai kata laluan khas bagi melindunginya daripada diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab selain dilengkapi dengan pengurusan resit digital.Ia juga menyokong aplikasi kad pintar dan dilengkapi dengan perkakasan kriptografi bagi meningkatkan lagi keupayaan sekuriti serta prestasinya.Perjalanan transaksi turut direkod, disimpan dan diuruskan secara automatik menerusi pangkalan data binaan dalam yang mana pengguna boleh mencari, menyusun dan mengurus data tersebut secara personal.Mungkin ada ketikanya pengguna menghadapi masalah dengan transaksi terdahulu yang tertangguh, namun dengan fungsi interaktif dompet elektronik, status terkini akan dapat diketahui dengan mudah.Pengesahan digitalBukan setakat itu, mereka juga akan dibekalkan bersama dengan resit dan invois pembayaran serta sijil pengesahan digital dari bank yang terlibat sebagai bukti untuk setiap transaksi.Aplikais ini turut memerlukan peralatan seperti paparan antara muka komunikasi, peranti memori, pemproses dan juga antena frekuensi radio (RF).Keperluan paparan antara muka komunikasi sebenarnya bertujuan untuk memaparkan maklumat akaun kewangan pengguna melalui sambungan Internet ke laman web institusi kewangan manakala peranti memori digunakan untuk menyimpan data itu secara elektronik.Bagi antena RF pula, ia digunakan untuk integrasi frekuensi radio sementara pemproses digunakan untuk memacu kesemua peralatan tersebut.Fungsi dompet elektronik berkenaan disempurnakan lagi dengan kehadiran sambungan USB, suis mekanikal, suis biometrik dan suis sensitif haba.Untuk memudahkan interaksi pengguna, alat tersebut turut didatangkan dengan skrin paparan sentuh, aplikasi butang mudah dan pelbagai medium sambungan seperti wayarles, Bluetooth, frekuensi radio, Wi-Fi, USB mini dan FireWire.Bagi membolehkan setiap transaksi dijalankan dengan lancar, e-dompet akan memaparkan data-data seperti nombor akaun, nama bank dan nilai kredit.Pengurusan akaun pula biasanya akan melibatkan gabungan rangkaian sambungan Internet, pembekal akaun dan pemproses yang akan memberi arahan untuk menerima sebarang bentuk maklumat.Banyak negara telah mengimplementasikan kemudahan ini dalam sistem kewangan mereka sebagai melengkapkan kaedah konvensional.Di Filipina misalnya, perkhidmatan e-dompet telah dilaksanakan secara meluas untuk membayar bil dan membeli barangan melalui pembekal servis mobilitinya iaitu Globe Telecom dan Smart Communications.Sementara itu, di India, teknologi tersebut semakin berkembang di pasaran mobiliti dengan enam juta pelanggan baru mendaftar setiap bulan.Sambutan menggalakkan terhadap kaedah moden tersebut adalah disebabkan perkhidmatan pembayarannya yang mudah untuk dilaksanakan.Syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan perkhidmatan tersebut di India dikenali sebagai Paymate dimana ia bukan setakat digunakan oleh individu, malah turut melibatkan aplikasi oleh syarikat-syarikat tempatan.Untuk menggunakannya, pengguna hanya perlu mendaftar bersama bank terlibat dan seterusnya mereka akan menerima nombor identifikasi personal (PIN) yang boleh digunakan bagi melaksanakan pelbagai transaksi.Transaksi biasanya dilakukan dengan menghantar nombor kod, PIN serta amaun yang terlibat kepada sistem komputer untuk sesuatu pembayaran atau aktiviti lain seperti memohon buku cek dan menukar akaun.Apa yang pasti, inovasi ini baru berada di peringkat awal dan dengan sambutan yang baik, perkhidmatannya mungkin akan diperluaskan lagi dengan pelbagai tawaran unik dan menarik pada masa hadapan.