Sunday, February 8, 2009

Samsung beri harapan kepada rumah kebajikan

Masa depan yang cerah menanti penghuni tiga rumah kebajikan Malaysia yang layak menerima sumbangan daripada Samsung Hope, iaitu satu inisiatif derma korporat baru yang bertujuan membela kanak-kanak kurang bernasib baik.

Samsung Malaysia telah memilih tiga pertubuhan penerima - Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Pulau Pinang, Rumah Shelter dan World Vision Malaysia (bagi projek pendidikan kanak-kanak di Lawas, Sarawak).

Setiap satu dipilih berasaskan peranan penting yang dimainkan untuk menangani isu kanak-kanak di Malaysia.

Sejumlah RM292,500 telah diperuntukkan untuk tiga pertubuhan penerima dan masing-masing akan menerima jumlah asas RM65,500 selain bantuan tambahan.

Maklumat mengenai pertubuhan penerima sudah dimuatkan ke dalam laman mikro Samsung Hope (www.samsunghope.org) dan rakyat Malaysia boleh menyokong rumah kebajikan pilihan mereka dengan memperuntukkan sumbangan kepada pertumbuhan tersebut.

Orang ramai juga boleh mengunjungi blog http://samsunghope.blogspot.com untuk maklumat terkini tentang aktiviti tiga pertubuhan penerima sumbangan ini.

Samsung Hope ialah satu inisiatif serantau yang membabitkan sumbangan geran tertinggi pernah dicatatkan berjumlah RM2,5 juta (AS$700,000) kepada 21 rumah kebajikan kanak-kanak di Asia Tenggara dan Oceania.

Program tersebut bertujuan memperkasa rakyat dari setiap negara untuk memainkan peranan aktif menyumbang kepada usaha kebajikan pilihan mereka dengan menentukan peruntukan dana geran.

Samsung Hope ialah nama naungan baru bagi semua kegiatan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Samsung.

Di luar rantau ini, Samsung juga baru-baru ini menandatangani perjanjian usaha sama baru dengan Yayasan Belia Antarabangsa (IYF) untuk menangani masalah pengangguran di kalangan belia di Afrika dengan memberikan latihan kemahiran kerja dan mempersiapkan golongan muda untuk membina kerjaya jangka panjang yang membawa kejayaan.

"Samsung telah memainkan peranan aktif untuk menyelesaikan masalah sosial di merata rantau ini menerusi inisiatif seperti Digital Hope, yang dilancarkan pada 2003 untuk membantu usaha merapatkan jurang digital," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd., Lee Tae Jik.

Samsung Hope terus mengambil satu lagi langkah dengan meminta masyarakat menentukan peruntukan geran.

Menerusi langkah memperkasakan orang ramai ini, kami ingin meningkatkan kesedaran sosial mengenai nasib kanak-kanak yang memerlukan dan mendorong masyarakat untuk membantu kanak-kanak mencorakkan masa depan yang cerah dan mencapai potensi masing-masing.

Tiga pertubuhan penerima yang terpilih ialah:

Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak (CPS)

Persatuan ini ditubuhkan atas inisiatif Datuk Nazir Ariff semasa beliau memikul tanggungjawab sebagai Presiden Kelab Rotary di Pulau Pinang (1991) dan dilancarkan secara rasmi pada 1992 oleh Puan Sri Chua Kah Peng. Pertubuhan ini merupakan sebuah organisasi bukan keuntungan, bukan kerajaan yang memenuhi keperluan kanak-kanak yang terabai atau terbiar di Pulau Pinang. Matlamat CPS ialah menyediakan persekitaran yang selamat, sesuai dan memberikan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko.

Rumah Shelter

Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar, beroperasi sejak 1981 untuk membantu kanak-kanak yang didera, ditinggalkan, diabaikan atau berisiko.

Rumah Shelter bagi Kanak-Kanak bermula sebagai satu wawasan sekumpulan tujuh sahabat yang beriltizam membantu kanak-kanak di sebuah perkampungan setinggan di Jalan Klang Lama.

World Vision Malaysia

World Vision Malaysia (WVM) ditubuhkan pada 1997 sebagai organisasi sokongan bagi World International, sebuah organisasi kemanusiaan, bantuan dan pembangunan Kristian global demi kesejahteraan semua, khususnya golongan kanak-kanak.

WVM ialah ahli World Vision International dan komited untuk menggalakkan transformasi dan pembangunan masyarakat pendapatan rendah dan memberikan bantuan, pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan ekonomi dan menegakkan keadilan.

WVM membantu golongan miskin dan bekerjasama dengan mereka untuk membina masa depan yang cerah bagi kanak-kanak, keluarga dan masyarakat masing-masing.

Projek Lawas, yang bermula pada Mac 2007, bertujuan menggalakkan pembinaan kapasiti dan memajukan masyarakat menerusi pendidikan prasekolah bagi suku kaum Lunbawang yang tinggal di dalam dan sekitar daerah Lawas di Sarawak.

Sebahagian besar daripada kanak-kanak kecil Lunbawang tidak memperolehi khidmat penjagaan kesihatan dan juga pendidikan awal yang sempurna. Justeru, mereka tidak dapat mencapai tahap akademik setanding rakan-rakan lain apabila memasuki Tahun Satu sekolah kerajaan.

No comments:

Post a Comment